Khamis, 9 Januari 2014

Catatan Hari Ini...

Salam Sejahtera Semua…
Semoga hari kita semua diberkati Tuhan hendaknya.
Pagi tadi di pejabat, saya didatangi oleh dua jenis pelawat. Pertama, Rakyat Malaysia-Sabah yang merupakan seorang penjawat awam yang mana sedang berkhidmat di Sarawak. Kedua, Rakyat Indonesia yang merupakan pelawat asing yang datang melawat saudara di Sarawak dan datang diiringi oleh saudaranya, orang tempatan. Namun bukan lawatan itu yang menarik perhatian saya, kerana itu sesungguhnya perkara biasa dan sudah menjadi tanggungjawab saya di sini. Saya lebih tertarik kepada isi kandungan perbualan santai di antara saya dan mereka setelah selesai urusan rasmi.
Pelawat pertama berjaya menarik perhatian saya untuk meneruskan perbualan tidak rasmi kami apabila dia memperkatakan tentang kejayaan pihak Imigresen Negeri Sarawak khasnya, dan Kerajaan Negeri amnya dalam mengawal selia seterusnya mentadbir urus proses keluar masuk rakyat asing dan juga Rakyat Malaysia-Sabah & Semenanjung Malaysia. Beliau memberikan pendapatnya sebagai seorang individu yang mengalami sendiri perkara tersebut selain terlibat secara langsung di dalam tugasan hariannya. Dia juga berpuas hati dengan penjelasan dan maklum balas rasmi saya di dalam perbualan kami sebentar tadi dan menyatakan kepuasan hati dia sebagai pelanggan.
Pelawat kedua pula walaupun tidak berbual panjang dengan saya setelah selesai proses pendaftaran keluar masuk, tetapi sikapnya yang telus di dalam menjawab setiap pertanyaan saya dan juga kesediaan dia melapor diri ke pejabat ini adalah sesuatu yang baik bagi saya. Ini sudah jelas menunjukkan bahawa suatu peraturan itu amat berkesan jika dikuatkuasakan dengan berintegriti dan menuruti SOP yang sedia ada tanpa mengambil kira kepentingan individu atau mana – mana pihak, di samping akan mewujudkan rasa hormat orang awam kepada peraturan tersebut.
Sebagai seorang individu, saya berpendapat tidak kira siapa kita dan di mana kita berada di dalam kitaran sesuatu lapisan masyarakat itu, apa yang penting adalah kita menjalankan peranan kita sebagai seorang individu di dalam kitaran itu dengan baik dan berintegriti. Seandainya kita sebagai seorang individu telah menjalankan peranan kita dengan baik, kita tanpa sedar akan menjadi penyumbang kepada kelompok masyarakat yang positif. Kelompok masyarakat yang positif pula mampu mewujudkan suasana kehidupan yang harmoni, yang mana secara tidak langsung mewujudkan sebuah wilayah yang aman damai dan maju jaya baik dari segi emosi, jasmani, intelek dan rohani. Begitu juga kita di dalam penguatkuasaan suatu peraturan dan juga di dalam amalan hidup seharian kita. Sekiranya suatu peraturan dan amalan itu kita masing – masing menghormatinya disamping mengamalkannya dengan hati yang tulus ikhlas, maka suatu peraturan dan amalan itu akan menjadi warisan yang terjaga turun – temurun yang akan menjadi kebanggan suatu masyarakat dan wilayah itu.
Sesungguhnya yang baik itu datang dari Tuhan, dan segala keburukan itu adalah dari diri saya sendiri…
…WiNeWorld Sematan 090114…



Tiada ulasan:

Catat Ulasan