Ahad, 5 Januari 2014

Catatan Hari Ini...

Salam Sejahtera semuanya…
Walaupun sudah seminggu Tahun 2014 menjelang tiba, semua pihak masih merasakan implikasi pertukaran tahun ini sebagaimana juga tahun – tahun yang sebelumnya. Semua pihak masih hangat memperkatakan pelbagai aspek yang boleh dikaitkan dengan pertukaran tahun itu tidak kira sekecil manapun isu itu hinggalah semegah mana suatu kejadian itu. Tidak kira sekecil isu anak kecil yang akan memulakan zaman persekolahan mereka, pertukaran tempat kerja mahupun kenaikan pangkat dan juga emolumen tahunan sehinggalah kejayaan – kejayaan besar setiap ibu kota di dunia ini meraikan ketibaan tahun baru dengan gilang gemilang sehingga menelan belanja yang mencecah nilai jutaan, keghairahan kuasa – kuasa politik besar di dunia yang memperbaiki dan memperhebatkan perjuangan masing – masing serta perubahan isu global dari segi ekonomi dan sosial juga diperdebatkan. Apa yang pasti semua pihak mempunyai pandangan dan aspirasi tersendiri berdasarkan di mana mereka berada. Disebelah pihak mana mereka berdiri dan berlindung. Dari sudut mana mereka mendapat perlindungan dan kepentingan. Kepada siapa mereka akan menyalurkan pendapat mereka.
Sebagai seorang individu, ketibaan tahun adalah suatu penanda aras bagi saya dalam menilai diri saya sendiri dari aspek jasmani, rohani, intelek dan emosi. Sebagai seorang penjawat awam pula, saya menilai diri saya dari aspek kompentensi dan integriti dalam mencapai Sasaran Kerja Tahunan yang telah ditetapkan agar saya mampu mengetahui segala kelemahan diri saya dalam menjalankan tugas, seterusnya memperbaiki kelemahan itu dengan mendapatkan pendapat dan tunjuk ajar daripada pegawai yang lain di dalam tahun penilaian ini.
Sejak bertukar ke tempat baru ini, saya telah mendapat hobi baru iaitu membaca Bacaan Harian Bible dan juga Bacaan Ramalan Zodiak Harian secara online selain mula menulis blog saya sendiri yang saya jadikan Diari Harian saya. Walaupun baru lebih kurang seminggu dengan hobi baru ini, saya mula menyedari bahawa sebagai seorang manusia yang waras saya sendiri tidak pernah mengenali dalaman saya sendiri sepenuhnya selama ini kerana sering kali gagal ke arah itu apabila dapat dipengaruhi oleh faktor luaran yang akhirnya membawa saya ke jalan buntu mahupun persimpangan yang kabur. Justeru, dengan adanya panduan melalui pembacaan ini, saya punya ruang yang mencukupi untuk menilai akan suatu tindakan yang hendak saya ambil di dalam kehidupan harian saya.
Sesungguhnya segala kekurangan dan kesilapan itu adalah dari diri saya sendiri dan yang baik dan sempurna itu adalah dari Tuhan…Alleluia
…WiNeWorld Sematan 060114…

Tiada ulasan:

Catat Ulasan