Selasa, 7 Januari 2014

Catatan Hari Ini...

Salam Sejahtera Semua…
Pagi ini cuaca sedikit baik apabila saya memulakan tugas pada pukul 0600 tadi. Cuaca yang baik menggalakkan penduduk setempat memulakan aktiviti harian lebih awal dan lebih yakin. Penempatan di tepi pantai ini, seperti juga perkampungan tepi pantai yang lain. Menangkap ikan ke laut, berkebun dan juga menjaja secara kecil – kecilan adalah antara punca pendapatan utama bagi mereka. Mungkin jam 0600 itu adalah terlalu awal bagi saya sebagai seorang penjawat awam yang telah ditetapkan oleh Kerajaan waktu pejabatnya, tetapi bagi mereka masa itu sudah agak lewat. Semasa duduk bersama rakan – rakan sepejabat dan juga masyarakat setempat bersarapan di warung, pokok pangkal perbualan masih berkisar mengenai perubahan mendadak dari segi ekonomi setempat, kebangsaan dan juga global sebagaimana juga perbualan isu – isu berbangkit di pelbagai peringkat yang lainnya.
Sebagai seorang individu, saya lebih suka mengaitkan isu ekonomi ini dengan Rezeki. Sebagai seorang anak kampung yang dilahirkan di pendalaman Sarawak selepas merdeka dan juga selepas penggabungan Sarawak, Sabah dan Persekutuan Tanah Melayu untuk membentuk Malaysia, perkataan ekonomi adalah suatu perkataan yang tidak mempunyai implikasi yang besar kepada masyarakat di tempat saya. Ini adalah kerana penanda aras istilah ekonomi bagi masyarakat di sini adalah kemampuan mereka untuk memenuhi keperluan asas mereka secara individu dan juga keluarga mereka. Ini bermakna mereka tidak memerlukan lebihan pendapatan mahupun pendapatan tetap secara harian, mingguan, bulanan mahupun tahunan yang mana boleh mereka laburkan untuk kegunaan pada suatu masa yang akan datang ataupun suatu masa kecemasan yang mendesak mereka. Di sinilah saya mula melihat bahawa sesungguhnya ekonomi itu adalah berasal dari rezeki. Seluruh penduduk kampung yang bergantung sepenuhnya kepada hasil hutan dan juga hidupan sungai untuk menampung kehidupan harian adalah secara terus menyerahkan kekukuhan ekonomi mereka dengan izin dan berkat rezeki daripada Tuhan. Meskipun terdapat perumpamaan yang menyatakan bahawa janganlah menjadi seperti seorang nelayan yang hanya pandai menahan jaring dan bubu kemudian sekadar menunggu ikan terjerat untuk mendapatkan rezeki Tuhan itu, tetapi jadilah seperti seorang pemburu yang sentiasa terus berjalan mencari hasil buruan tanpa mengira penat lelah dan kesukaran sehinggalah dia berjaya mendapatnya. Bagi penduduk di pendalaman seperti kami, pokok pangkalnya adalah satu. Turunlah kamu seawal yang boleh tidak kira ke sungai mahupun hutan dengan niat untuk mencari rezeki yang halal agar boleh dibawa pulang untuk seisi keluarga. Dan hendaklah kamu menyerahkan perjalanan itu ke dalam berkat dan izin Tuhan yang kamu percayai kerana sesungguhnya semua yang di muka bumi ini adalah milikNya, dan semua kejadian itu adalah berlaku hanya dengan izinNya. Di sini, sekiranya rezeki yang diperolehi itu hanya cukup sekadar untuk mengalas perut seisi keluarga, maka bersyukurlah kerana tidak berlapar. Manakala jika rezeki itu berlebihan, maka berkongsilah dengan mereka – mereka yang terdekat dengan keikhlasan. Justeru di sini saya belajar bahawa sesungguhnya rezeki itu adalah batu asas kepada apa yang dikatakan ekonomi pada zaman ini.
Rezeki, jika kita tidak mengambil yang telah menjadi hak orang lain tetapi sebaliknya berusaha untuk mendapatkan rezeki yang lebih baik maka kita masing – masing akan mampu untuk menyimpan rezeki itu untuk kegunaan diri kita masing – masing.
Rezeki itu jika digunakan dengan baik, samaada dikongsi mahupun disedekahkan maka akan bertambahlah suatu berkat rezeki itu. Justeru makin bertambahlah rezeki itu dari semasa ke semasa kerana sesungguhnya telah dinyatakan oleh Tuhan, Berilah maka kamu akan memperolehi suatu yang lebih baik.
Rezeki itu adalah bagaikan sebiji benih mahupun sepasang ternakan. Jika kita sabar dalam menguruskan dan menunggu akan keberhasilan benih dan ternakan itu, maka kita akan mendapat rezeki yang berpanjangan dan begitu juga sebaliknya.
Saya sering membaca kisah seorang miskin yang bekerja lebih untuk mendapatkan dua kali ganda hasil kerjanya agar dia dapat untuk menyedekahkan hasil itu kepada jirannya sebagaimana yang diminta oleh ibunya. Kerana keikhlasan beliau dan izin Tuhan, dia telah berjaya menjadi Jutawan yang permurah.
Justeru, bagi saya yang hanya memiliki pendapatan kecil ini sesungguhnya ekonomi itu akan memberi impak positif sekiranya rezeki kecil ini saya uruskan dengan baik dan ke arah kebaikan juga hendaknya.  Sekiranya saya memiliki rezeki yang lebih baik dan diuruskan dengan baik, maka saya akan mampu melonjakkan ekonomi saya secara individu. Seterusnya dengan kestabilan ekonomi tersebut, saya akan mampu menyumbangkan ke arah ekonomi setempat untuk kesejahteraan masyarakat setempat secara langsung dan peringkat lain dengan tidak langsung.

Bersyukur adalah lebih baik daripada menyesali walaupun ke atas rezeki yang sedikit.
…WiNeWorld Sematan 080114…

Tiada ulasan:

Catat Ulasan