Khamis, 9 Januari 2014

Catatan Hari Ini...

Salam Sejahtera Semua…
Sesungguhnya hari ini adalah lebih istimewa berbanding hari – hari lain bagi diri saya sebagai seorang individu. Hari ini adalah hari lahir saya. Tanpa sedar putaran masa berlalu dengan begitu cepat sebagaimana hukumnya yang telah ditetapkan oleh Tuhan. Meskipun saya tidak membuat apa – apa majlis untuk meraikan Hari Lahir saya, tetapi saya tidak pernah melupakan hari yang istimewa ini. Malah saya membeli satu hadiah untuk diri saya sendiri sebagai peringatan kepada diri saya. Itulah cara saya sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Sesungguhnya saya percaya hanya dengan menghargai diri sendiri terlebih dahulu, maka saya akan menghargai orang lain di sekeliling saya dan seterusnya semua kehidupan dan kejadian di sekeliling saya.
Saya mengucapkan syukur kepada Tuhan kerana dengan izin dan berkatNya saya masih diberikan kesempatan untuk menikmati, melalui dan menyumbang di dalam kitaran hidup sebagai hambaNya di Bumi CiptaanNya ini. Sesungguhnya Tuhan lebih mengetahui apakah perancangan terbaik untuk setiap umatNya di Bumi ini. Justeru saya sentiasa berdoa agar diberikan kekuatan dan kesabaran untuk melalui segala dugaan yang mendatang di dalam hidup ini agar saya tidak akan mengeluh dan berputus asa. Saya juga percaya bahawa Tuhan hanya menguji mereka yang mampu dan bukannya bertujuan untuk menghukum tetapi untuk mempersiapkan mereka dengan suatu yang lebih besar dan baik di hari akan mendatang.
Dari awal pagi lagi handphone saya menerima pesanan ringkas ucapan Selamat Hari Lahir daripada kawan – kawan saya tidak kira yang jauh mahupun dekat. Begitu juga dengan media sosial saya yang lain , banyak kawan – kawan yang mengucapkan Selamat Hari Lahir. Terima kasih semua yang masih ingat akan tarikh istimewa saya itu. Sesungguhnya saya tidak banyak berkongsi tarikh itu dengan orang lain sejak dulu lagi. Bukan tujuan saya untuk menyembunyikan umur saya, tetapi itu telah menjadi kebiasaan saya. Sehingga pernah suatu ketika dulu saya sendiri terlepas tarikh istimewa tersebut kerana kesibukkan dalam menjalani kehidupan harian.
Dalam usia yang meningkat ini, saya makin jelas dengan perumpamaan Pengalaman Itu Adalah Guru Yang Terbaik. Perubahan masa yang membawa peningkatan usia dan menerapkan kematangan dalam aspek rohani, jasmani, intelek dan emosi. Saya sedar tidak banyak kejayaan yang saya kecapi sebelum ini berbanding dengan kegagalan dan kesilapan besar yang saya lakukan dalam hidup ini. Tidak kira sebagai seorang individu, seorang kawan, seorang saudara, seorang ayah, seorang anak, seorang abang, seorang adik, seorang suami, seorang pekerja dan yang paling utama sebagai seorang Umat Tuhan Yang Percaya. Saya alpa dan terhanyut oleh arus yang boleh membawa saya ke lautan kegagalan tanpa tepian. Justeru kini saya makin sedar bahawa Tuhan masih punya ehsan untuk memberikan peluang kepada saya untuk memperbetulkan kesilapan itu dan seterusnya memperbaiki diri saya untuk kebaikan diri saya sendiri dan juga mereka – mereka yang di sekeliling saya, lebih lagi mereka yang menerima, memerlukan dan menyayangi saya seadanya. Saya tidak ingin lagi mengulangi semua kesilapan itu, kerana sesungguhnya mereka hari ini miliknya yang sama dengan semalam adalah mereka yang gagal.
Teruklah mereka yang mana hari ini miliknya lebih teruk daripada semalam…Berbahagialah mereka yang mana hari ini miliknya lebih baik daripada semalam…Bertuahlah mereka yang mana punya hari ini yang baik untuk mempersiapkan hari esok…
…WiNeWorld Sematan 100114…

Tiada ulasan:

Catat Ulasan