Isnin, 6 Januari 2014

Catatan Hari Ini...

Salam Sejahtera Semua…
Seperti biasa rutin harian saya bermula dengan melihat keperluan kerja untuk sepanjang hari ini. Kemudian menikmati sarapan bersama rakan – rakan sepejabat dan juga masyarakat setempat. Apa yang menariknya adalah kerana pejabat saya hanya bersebelahan dengan kedai makan Islam. Justeru, tidak ada masalah untuk saya bersarapan tanpa akan wujud isu saya meninggalkan pejabat kerana saya masih dapat mendengar telefon yang bordering sekiranya terdapat panggilan masuk dan juga masih dapat melihat jika  ada pelawat yang datang untuk berurusan di pejabat. Kemudian saya membaca Today Reading Bible, Ramalan Horoskop Harian dan juga beberapa Akhbar Online untuk mendapat tahu serba sedikit perkembangan global secara umum. Maklumlah kata orang Membaca Itu Jambatan Ilmu.
Saya minat membaca sejak berumur empat tahun apabila kakak saya memasuki Darjah Satu pada ketika itu. Sebagai anak rumah panjang yang terletak jauh di pendalaman, kami tidak terdedah dengan istilah Pra Sekolah, Tadika, Taska serta mana – mana istilah pendidikan awal lainnya. Apabila kakak saya membawa balik buku – buku dari sekolah semasa cuti sekolah, saya mula tertarik kerana itulah pertama kali saya mengenali suatu yang dikatakan buku. Meskipun kakak saya sendiri baru belajar membaca ketika itu, dia berjaya berkongsi ilmu itu dengan saya sehingga kami berdua telah bersama – sama boleh membaca. Bapa saya yang merupakan seorang Ketua Sembahyang Roman Katolik di rumah panjang kami sememangnya boleh membaca tetapi tidak ada bahan bacaan yang boleh beliau gunakan sebagai bahan mengajar kepada kami adik beradik, manakala emak saya adalah seorang suri rumah tangga yang tidak pernah memijakkan kaki ke alam persekolahan. Apabila saya memasuki alam persekolahan, saya tidak menghadapi masalah untuk mengikuti proses pembelajaran di sekolah. Walau bagaimanapun saya masih teringat pada satu ketika saya diminta oleh Guru Kelas saya untuk membuat pembacaan di depan perhimpunan sekolah, dan saya telah gagal untuk membuat pembacaan teks tersebut. Malah saya tidak dapat memulakan pembacaan saya sekalipun walaupun saya boleh membaca dengan baik. Apabila perkara itu saya maklumkan kepada bapa saya, beliau telah memberikan saya Bible untuk dibaca. Sememangnya Bible itu di dalam Bahasa Iban dan saya mahupun kakak saya tidak pernah belajar Bahasa Iban secara formal. Apa yang menariknya, dalam masa yang sama beliau menunjukkan kebolehan beliau membaca Tulisan Jawi yang terdapat di belakang Buku Latihan berwarna Biru yang saya gunakan. Beliau menyatakan bahawa saya gagal untuk membaca di khalayak ramai kerana saya saya hanya membaca dengan mulut tetapi tidak dengan hati. Menurutnya setiap bacaan itu hendaklah ikhlas, jujur dan penuh rasa percaya. Percaya pada diri. Percaya pada apa yang kita baca. Percaya pada sumber bahan bacaan itu. Percaya kepada mereka yang mendengar bacaan kita itu. Dan pada suatu hari Ahad semasa Missa Ahad, beliau tanpa ragu – ragu memanggil nama saya untuk melakukan Bacaan Bible pada hari tersebut. Beliau hanya membisikkan kepada saya, “Bacalah dengan nama Tuhan.” Tanpa saya duga, saya telah membaca bacaan itu dengan baik sekali sehingga habis. Bacaan Ahad pertama saya ketika berumur tujuh tahun. Bacaan Ahad pertama saya di depan Paderi pula ketika saya berumur Sembilan tahun. Pada awalnya Brother dan Sister tidak yakin saya akan mampu membuat bacaan yang baik di depan umat yang mencecah hampir 1000 orang, dan diketuai oleh seorang Paderi. Dengan izin Tuhan, saya berjaya menghabiskan bacaan itu dengan baik. Selepas tamat Missa itu, seorang Brother telah memanggil saya dan menghadiahkan saya seutas Rosari.
Pada hari ini, saya makin menyedari bahawa banyak kesilapan yang saya lakukan sebagai seorang manusia yakni mahluk ciptaan Tuhan disebabkan oleh kegagalan saya membaca segala yang tersurat dan tersirat daripadaNya dengan hati yang jujur ikhlas. Saya mengakui sesungguhnya saya manusia yang gagal kerana tidak mampu membaca dengan baik segala buku yang ada di tangan saya pada ketika ini. Syukur Tuhan kerana dengan izinMu, saya manusia yang penuh dosa dan serba kekurangan ini menyedari kesilapan itu. Sesungguhnya saya seorang pendosa, mohon padaMu untuk melihat kepada Kepercayaan saya dan bukannya dosa saya.

Ketuklah maka akan dibukakan untuk kamu. Carilah maka kamu akan menjumpai. Pancarkanlah lampu maka kamu akan melihat.

…WiNeWorld Sematan 070114…

Tiada ulasan:

Catat Ulasan